Monday 19 December 2011

YANG TERAMAT MULIA DATO' KLANA PETRA DATO HAJI MUBARAK BIN DOHAK, D.T.N.S. (UNDANG LUAK SUNGAI UJONG)


Dilahirkan di Kg. Telaga Undang, Batu 9, Pantai pada 11 November 1961, merupakan anak tunggal kepada Allahyarham Thahak @ Dohak bin Dato' Sutan Nara Haji Abu Samah dan Puan Lawiyah bte Dato' Amar Setia Alwi.
Pasangan suami isteri ini adalah anak jati Kg. Pantai dan mempunyai pertalian rapat dengan penyandang pusaka terdahulu. Allahyarham Thahak berasal dari Batu 8 Pantai ialah cucu kepada Yang Teramat Mulia Dato' Undang Luak Sungai Ujong ke Tujuh manakala Puan Lawiyah yang berasal dari Kg. Telaga Undang ialah cucu kepada Yang Teramat Mulia Dato' Undang Luak Sungai Ujong ke Lapan.
Kelahiran Yang Teramat Mulia Dato' Mubarak menemui zaman pahit getir dan sukar sekali terutama pada awalnya kerana kebetulan ayahnya meninggal dunia tatkala beliau berusia 3 tahun.
Beliau tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menghabiskan waktu untuk menolong ibunya dalam sebarang pekerjaan kampung yang boleh menghasilkan sumber pendapatan bagi menyara kehidupan dua beranak ini.
Beliau membahagikan masa di antara sekolah dan rumah untuk meneruskan cabaran hidup dan lingkaran kehidupan beradat telah banyak mendidik beliau untuk sentiasa tabah bagi mematangkan pemikiran dan pembawaan menjelang tempoh dewasa.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah King George V dari 1968 hingga 1973 dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah King George V dari tahun 1974 hingga 1978. Beliau berjaya memperolehi kelulusan MCE.
Semasa di sekolah rendah, Yang Teramat Mulia Dato' Mubarak walaupun dalam kesibukan membahagikan masa berjuang untuk kehidupan bersama ibu, sempat membuktikan keupayaannya dalam kegiatan-kegiatan luar darjah. Beliau cenderung dalam sukan badminton dan bola tampar.
Bakat semulajadi dalam bidang kesukanan ini terus mengalir apabila beliau berada di sekolah menengah. Potensinya lebih menyerlah apabila beliau berjaya mewakili sekolah dalam pasukan ragbi. Pasukan ragbi Sekolah Menengah King George V muncul sebagai juara sekolah-sekolah Negeri Sembilan bawah 15 tahun dan bawah 20 tahun.
Sukan menjadi salah satu bidang yang amat menarik perhatian beliau sama ada sebagai peserta, penonton ataupun juga sebagai penganjur. Beliau turut menganggotai Pasukan Bolasepak Belia dan UMNO, di samping bergiat cergas dalam hal-hal kemasyarakatan setempat.
Sebagai contohnya, Yang Teramat Mulia Dato' Mubarak turut memberikan perhatian di bidang keagamaan di mana beliau adalah Ahli Jawatankuasa Surau Batu 9, yang kebetulan berhampiran dengan rumahnya. Ia merupakan surau keluarga.
Beliau juga turut menganggotai Jawatankuasa Penaja Kelab Rekreasi Bukit Berembun yang dibentuk pada tahun 1993.
Yang Teramat Mulia Dato' Mubarak memulakan kerjaya dengan Bank Bumiputra cawangan Kuala Pilah pada bulan jun 1980 dan kemudiannya bertukar ke Cawangan Seremban pada bulan April, 1984 hinggalah sampai ke saat dilantik menjadi Dato' Undang.
Sepanjang perkhidmatan beliau dengan organisasi ini, Yang Teramat Mulia Dato' Mubarak turut bergiat dalam bidang sosial. Beliau pernah menjadi Setiausaha Kelab, Setiausaha Sosial, serta Setiausaha Perhubungan Kakitangan BBMB Seremban selama 5 tahun.
Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Yang Teramat Mulia Puan Noor Hashimah bt Abu Bakar, 43 tahun yang berasal dari kampung Bukit Gombang Batu Kikir pada 31 Mac 1984. Hasil perkongsian ini pasangan tersebut dikurniakan 5 orang cahaya mata terdiri daripada Nurul Ain 17 tahun, Siti Shahrizat 16 tahun, Ahmad Nazir 15 tahun, Nurdina Zaina 13 tahun dan Ahmad Shahfiq 9 tahun.

No comments:

Post a Comment