ALOR SETAR 13 Dis. - Lebih 30,000 rakyat Kedah daripada pelbagai bangsa dan peringkat masyarakat hadir di sepanjang jalan dari Istana Anak Bukit ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim sejauh 5.3 kilometer, untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu”adzam Shah dan Tuanku Haminah Hamidun ke Kuala Lumpur pagi ini.
Sebelum berangkat dari anjung Istana Anak Bukit di sini, doa dibacakan dan azan dilaungkan sebelum Nobat ”Raja Berangkat” dimainkan oleh kumpulan Nobat diRaja.
Tuanku berdua yang berpakaian rasmi berangkat dari Istana Anak Bukit ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada pukul 7.30 pagi dengan kawalan polis bermotosikal.
Ketibaan baginda berdua di lapangan terbang disambut oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan isteri Datin Seri Faekah Sheikh Hamzah serta orang kenamaan negeri.
Azizan kemudian mengiringi Sultan dan Sultanah Kedah ke pentas DiRaja dan diikuti persembahan ”Hormat” DiRaja” oleh 103 orang pegawai dan anggota pasukan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu (RAMD) dan lagu Negaraku dimainkan sambil tembakan meriam 18 das dilepaskan.
Baginda kemudian memeriksa pasukan tersebut dan pada masa sama bendera Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti bacaan doa oleh Mufti kerajaan Kedah, Datuk Sheikh Badaruddin Ahmad.
Sultan Kedah sekali lagi dipersembahkan ”Hormat DiRaja” oleh Batalion Kedua RAMD dan membalas tabik hormat yang diikuti lagu Negaraku sebelum baginda berdua berangkat menaiki pesawat DiRaja untuk berlepas ke Kuala Lumpur.
Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin berkuat kuasa hari ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment