Tuesday, 13 December 2011

Sultan Kedah dipilih Yang diPertuan Agong baru






Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya pada Jumaat bersetuju mengisytihar Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.


Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, demiikian menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.

Sultan Abdul Halim, 83, yang kini Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang.

Pemilihan dilakukan mengikut peruntukan jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Abdul Halim, diputerakan pada 28 Nov 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah.

Lulusan Wadham College Oxford United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950-an.

Sementara itu, Sultan Muhammad V, 42, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu diputerakan di Kota Baharu, Kelantan pada 6 Okt 1969.-14/10/2011



No comments:

Post a Comment