Tuesday, 13 December 2011

Rakyat bangga Sultan Kedah dilantik Agong kali kedua

13/12/2011 10:10am

ALOR SETAR 13 Dis. - Rakyat Kedah amat bangga dan teruja dengan pelantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu”adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, setelah menamatkan pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1975.

Mereka menyifatkan pelantikan Sultan Abdul Halim, 84, sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kali kedua adalah satu sejarah yang sukar dicapai memandangkan ia perlu mengikut giliran dan masa yang panjang.

Sultan Abdul Halim buat pertama kali dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai 1970, dan ditabalkan pada 20 Feb 1971 untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada 20 Sept 1975.

Bagi Wan Nasri Wan Abdul Rahman, 59, yang berkhidmat sebagai Orang Balai Besar di pejabat baginda berkata: “Sebagai rakyat Kedah dan bekerja di pejabat Tuanku sejak 1977, saya memang sangat bangga dan sukacita.

"Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata perasaan ini dan saya yakin seluruh rakyat Kedah turut merasai perasaan yang sama. Sudah banyak acara yang dibuat untuk meraikan pelantikan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Ini jelas menunjukkan kegembiraan rakyat terhadap pelantikan baginda,” katanya kepada Bernama.


No comments:

Post a Comment