Sunday, 5 January 2014

Polis bertindak jika ingkar arahan JAIS

Alor Gajah: Polis akan bertindak terhadap pihak yang ingkar jika Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memintanya berbuat demikian dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan larangan penggunaan kalimah Allah di Selangor. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara yang berhubung kait dengan hal ehwal Islam berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. 

Dalam hal ini, bidang penguatkuasaan JAIS harus dihormati oleh semua pihak dan polis hanya akan melakukan tindakan mengikut undang-undang apabila diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa agama itu, katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis persandingan Pegawai Khasnya, Azizul Hakim Abdul Aziz dengan pasangannya, Nurfaraheeda Omar di Kampung Pekan Brisu, Lubok China, di sini semalam. 

Rampas Bible 

Baru-baru ini, Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew tetap mahu menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan di gereja seluruh Selangor walaupun JAIS sudah mengeluarkan notis larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam. 

Susulan itu pada Khamis lalu, JAIS merampas kira-kira 300 kitab Bible versi bahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah, selepas menyerbu pejabat Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) di Damansara, Selangor. 
November lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan penerbitannya dalam akhbar mingguan The Herald versi bahasa Melayu, perlu dihentikan serta-merta bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negeri itu. 

Pada Oktober lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk tidak membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam Bible dan terbitan bahasa Melayu akhbar itu. 

Usah dipolemik 

Ahmad Zahid berkata, titah Sultan Selangor itu berkaitan dengan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan akhbar mingguan The Herald adalah sesuatu yang wajib dipatuhi oleh semua pihak. 

Katanya, selain titah baginda, keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan penggunaan kalimah suci itu dalam kalangan bukan Islam juga perlu dipatuhi semua pihak tanpa sebarang alasan. 

Hal ini wajib dipatuhi dan tidak harus dipolemikkan kerana ia berkaitan dengan undang-undang dan titah Sultan," katanya.

No comments:

Post a Comment