PETALING JAYA 9 Jan. - Sesebuah kerajaan negeri mesti menghormati hak mutlak dan bidang kuasa sultan serta majlis agama dalam semua urusan berkaitan agama Islam di peringkat negeri mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Jadual 9 Perlembagaan Negara dengan jelas menyatakan bahawa urusan agama adalah di bawah kuasa sultan yang diperturunkan kepada majlis dan jabatan agama Islam di negeri masing-masing.
"Kuasa agama adalah di bawah kuasa tuanku dan majlis agama mempunyai kuasa ke atas peruntukan yang diberikan oleh Perlembagaan.
"Kita di peringkat Persekutuan memahami perkara tersebut. Jadi, eloklah semua pihak menghormati Perlembagaan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menutup Seminar Pengarah-pengarah Korporat Lembaga Tabung Haji (TH) kali keenam yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di Kelana Jaya, di sini hari ini.
Sementara itu, Jamil Khir meminta semua pihak mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang Gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguannya, The Herald sementara menunggu Mahkamah Persekutuan bersidang dan membuat keputusan mengenai kes tersebut.
"Kita sepatutnya tunggu kes tersebut dibicarakan dan penghakiman dibuat ke atas rayuan oleh pihak gereja di Mahkamah Persekutuan. Kita bukan hakim untuk bincang soal ketidakpuasan hati dan kes ini," ujarnya
No comments:
Post a Comment