Friday, 17 January 2014

Titah Ucapan Tuanku Muhriz Pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan Darul Khusus

15 Januari 2014, Rabu :-

Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan Darul Khusus sempena sambutan Hari Keputeraan ke-66 Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah diadakan semalam 14 Januari 2014 di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti, Seri Menanti, Negeri Sembilan.  Diantara titah ucapan baginda dalam istiadat ini adalah seperti berikut :-


Alhamdulillah Beta bershukur kehadrat Allah Subhanahu wa ta’ala  kerana dengan izinnya Beta dan Tunku Ampuan Besar dapat berangkat ke majlis pada pagi ini untuk menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena ulangtahun hari keputeraan beta yang ke-66 tahun.

Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada memanda beta diatas persembahan ucap tahniah dan ikrar taat setia kepada beta bagi pihak kerajaan, pegawai-pegawai perkhidmatan awam dan seluruh rakyat. Beta dan Tunku Ampuan Besar berasa sukacita dan menghargai doa, ingatan dan kasih sayang yang dilafazkan kepada Beta berdua.

Dikesempatan ini, Beta mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2014. Beta berdoa agar tahun ini akan terus dilimpahi kesejahteraan dan kemakmuran serta kestabilan dari segi ekonomi dan sosial di Negeri Sembilan dan Malaysia amnya.  Beta bershukur keatas kedamaian dan keharmonian Negeri Sembilan yang dikecapi selama ini.


Sumber : Fanpage YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Husin

Kek Sempena Hari Keputeraan Tuanku Muhriz Ke-66 Tahun

17 Januari 2014, Jumaat :-

Syah ingin berkongsi dengan anda semua gambar kek sempena sambutan hari keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-66 tahun yang disambut pada 14 Januari lepas. Ini adalah kek untuk Tuanku dalam dua majlis yang diadakan untuk baginda. Sebenarnya banyak lagi majlis yang diadakan sempena sambutan hari keputeraan baginda tetapi Syah hanya dapat dua gambar ini sahaja.



Kelihatan Tuanku Muhriz memotong kek sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertua Besar Negeri Sembilan Darul  Khusus ke-66  yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti pada 14 Januari 2013.


Tuanku Muhriz memotong kek hari keputeraan dalam Majlis Santapan Negeri Sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertua Besar Negeri Sembilan Darul  Khusus yang ke-66 di Alson Kelana Resort, Seremban, Negeri Sembilan pada malam 15 Januari 2014.

Sumber :- Fanpage YAB. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

Selamat Menyambut Hari Keputeraan Yang Ke-66 Tahun Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz



Merafak Sembah dan Setinggi-tinggi Tahniah

Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus

TUANKU MUHRIZ IBNI ALMARHUM TUANKU MUNAWIR

Sempena Hari Keputeraan Tuanku Yang Ke-66

pada 12 Rabiulawal 1435H bersamaan 14 Januari 2014 

Sembah Takzim Daripada


patik yang hina
Anakanda Mohammad Putra bin Hj Kamaluddin


Friday, 10 January 2014

ISU-ISU AKHBAR CINA

CALON KALAH TERPINGGIR
AKHBAR China Press bertarikh 6 Januari 2014 menyiarkan artikel mengenai pelantikan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai Setiausaha Agung MCA yang baharu manakala Ketua MCA Bahagian Teluk Intan, Datuk Seri Kuan Peng Soon sebagai bendahari agung parti itu.
Artikel bertajuk ‘Kabinet MCA sandiwara melucukan’ yang ditulis oleh penulis samaran, San Sian disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.
Menurut artikel itu, pelantikan kedua-duanya membuktikan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hanya memilih orang yang beliau percaya bagi memegang jawatan berkenaan. Bagaimanapun, pernahkah anda lihat presiden yang mempunyai kuasa besar melantik peneraju jawatan tertinggi daripada kalangan lawan yang tewas bertanding dalam pemilihan parti?
Presiden berjiwa besar boleh diumpamakan seperti hulubalang yang bersikap terbuka sehingga mampu menampung kapal besar dalam hati mereka. Yang menjadi fenomena dalam MCA sekarang adalah pihak yang menang akan melantik orang kepercayaan sendiri bagi memperkukuhkan kuasa dan jawatan mereka.
Jika diambil musuh-musuh politik sendiri, ia seperti pepatah Cina iaitu “menjemput serigala masuk ke dalam rumah". Ia juga seperti membela seekor harimau yang boleh mengganas pada bila-bila masa. Ini sudah pasti mengundang bala dan kecelakaan.
Tiong Lai bukanlah bodoh untuk melantik musuh-musuhnya sendiri yang tewas bertanding seperti calon jawatan presiden, Gan Ping Sieu sebagai setiausaha agung.
Beliau juga tidak akan melantik seorang usahawan berjaya seperti Datuk Donald Lim Siang Chai yang turut kalah dalam merebut jawatan timbalan presiden sebagai bendahari MCA?
Jika beliau mengambil orang yang tidak memihak kepada dirinya, dia sudah tentu akan merasa tidak selesa.
Segala yang dilakukan oleh Tiong Lai sekarang umpama kata pepatah Cina, “selepas dapat menyeberangi sungai, jambatan dirobohkan". Kemenangannya menjadi presiden juga bermakna beliau telah dapat merentasi lautan dan sudah menjadi dewa walaupun menang dengan majoriti tipis berbanding Ping Sieu.
Mereka yang berkuasa juga melantik anak bekas presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Pengerusi Perhubungan MCA Perlis. Datuk Chua Tee Yong dilepaskan untuk menjaga pekan kecil di Perlis berdekatan dengan Bukit Kayu Hitam yang masyhur dengan permainan bunga api.
GUAN ENG SUDAH BERUBAH?
ISU Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggunakan kereta rasmi baharu jenis Mercedes-Benz S300L bernilai RM657,218 turut diulas oleh China Press dalam artikel bertarikh 8 Januari 2014.
Artikel oleh Goh Kah Hau bertajuk ‘Lim Guan Eng, kamu sudah berubah ke?’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.
Pada 2008, Guan Eng mengkritik kerajaan Terengganu kerana membeli kereta Mercedes-Benz dalam keadaan negara menghadapi tekanan ekonomi. Hari ini, di saat-saat harga barangan sedang naik, beliau menukar kenderaan. Kenapa dalam masa dua bulan sudah dua kali menukar kenderaan rasmi termasuk sebelum ini kereta Toyota Camry 2.5?
Kenderaan yang ditukar lebih mahal daripada yang terdahulu (walaupun dikatakan telah mendapat potongan harga). Adakah pembelian benda-benda yang mahal itu, bukan tindakan yang salah?
Sebelum ini, sesuai dengan status sebagai bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pertama yang menjadi ketua menteri, Guan Eng secara agresif berkempen supaya pemimpin negeri dan kakitangan kerajaan berjimat cermat dan beliau sendiri naik kapal terbang kelas ekonomi.
Tetapi selepas lima tahun memerintah dan setelah menang lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), beliau lupa diri.
Beliau menjadi ketua menteri yang lebih suka bergaya. Jawapan beliau berhubung isu menukar kenderaan itu bukan sahaja dihentam oleh Barisan Nasional (BN) malah turut dikritik oleh pemimpin-pemimpin pembangkang.
Diharapkan Guan Eng tidak lupa bahawa dalam pemilihan semula DAP Pusat baru-baru ini, undi yang beliau peroleh telah merosot.
Selain itu, semasa pemilihan DAP Pulau Pinang, ramai orang beliau telah tewas. Ini jelas menunjukkan dalam parti itu, sudah ramai yang tidak menyukai beliau.
Tindakan beliau yang tergesa-gesa menukar kenderaan rasmi mengecewakan ahli-ahli DAP kerana mereka tidak mempunyai alasan kukuh untuk mempertahankannya.
SELESAI SEGERA MASALAH SJKC
AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 4 Januari 2014 menyiarkan artikel mengenai masalah yang sedang dihadapi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Artikel bertajuk ‘Antara kekurangan guru dan SJKC bersaiz kecil’ disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuan Lun halaman C7.
Fenomena pertama yang dihadapi SJKC sejak puluhan tahun adalah masalah kekurangan guru dan fenomena kedua, isu jumlah kemasukan murid yang kecil.
Dua fenomena yang agak luar biasa ini menyebabkan SJKC berada dalam kedudukan membimbangkan.
Mengikut laporan tidak rasmi, SJKC kekurangan lebih 1,000 guru. Walaupun Kementerian Pendidikan telah meluluskan 300 guru sementara berkelulusan universiti, ia belum dapat menyelesaikan masalah.
Sekarang persekolahan sudahpun bermula. Sepatutnya kementerian melantik secara sah guru yang layak itu untuk mengisi kekosongan jawatan di SJKC.
Dalam pada itu, fenomena kekurangan murid di SJKC juga perlu diberi perhatian.
Apa yang menyinggung perasaan adalah murid bukan Cina melebihi murid Cina di sekolah berkenaan. Tetapi jika sekolah berkenaan hanya mempunyai murid Melayu dan India dan tiada langsung murid Cina, adakah ia masih boleh digelar SJKC?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140109/re_08/ISU-ISU-AKHBAR-CINA#ixzz2pzj5gxHV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

KDN perkenal akta baharu perangi fitnah internet

KUALA LUMPUR 19 Dis. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membentangkan rang undang-undang baharu bagi memerangi perbuatan fitnah serta penghinaan ke atas Islam dan institusi diraja khususnya dalam internet.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pengenalan kepada rang undang-undang baharu itu adalah perlu, sejajar dengan pendirian kerajaan untuk tidak mengharamkan media berkenaan.
Menurutnya, KDN menyedari berlaku banyak salah guna di media alternatif terutama melibatkan aspek fitnah, justeru masalah tersebut perlu ditangani dengan undang-undang baharu.
"Saya harap bila rang undang-undang ini dikemukakan, semua dapat menyokong," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2013 (SOSMA) dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Pindaan terhadap akta tersebut kemudian diluluskan sebulat suara oleh Dewan Negara.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, pindaan terhadap Seksyen 6 Akta SOSMA yang melibatkan kebenaran untuk pihak berkuasa melakukan pintasan komunikasi tidak bertujuan politik tetapi demi keselamatan negara.
Tegasnya, tidak timbul soal mengenai kebimbangan pintasan komunikasi demi tujuan politik kerana kebenaran tersebut memerlukan kelulusan daripada Timbalan Pendakwa Raya dan bukannya pegawai polis.
Tambahnya, sebaik bukti menerusi pintasan komunikasi diperoleh, Timbalan Pendakwa Raya akan memadam perkara berkait politik serta peribadi dan hanya menumpukan kepada bukti jenayah.
"Melalui langkah ini, kita meyakini bahawa setiap pintasan komunikasi hanya akan dibuat atas faktor keselamatan dan bukan bertujuan politik kerana Timbalan Pendakwa Raya adalah bebas politik," jelasnya.

Andrew patut hormat undang-undang


rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia sekian lama hidup aman dan harmoni di bawah payung Perlembagaan Persekutuan. - Gambar hiasan.

Oleh RAJMAH HASAN
rencana@utusan.com.my

DI Malaysia, orang bukan Islam bebas mengamalkan agama mereka. Buktinya, kerajaan tidak pernah melarang pembinaan rumah-rumah ibadat biarpun sesetengahnya bertaraf mega.
Biarpun Islam adalah agama rasmi negara, namun keistimewaan yang dinikmati orang bukan Islam di negara ini adalah hasil pelaksanaan Perlembagaan Persekutuan.
Pengiktirafan agama Islam adalah seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala Perkara 11 menyatakan tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, tetapi tertakluk Fasal 4.
Fasal 4 menyatakan undang-undang negeri dan Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.
Mutakhir ini, Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 11 dimanipulasi oleh puak tertentu yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang berpihak kepada agama Islam.
Keengganan pihak terbabit untuk menerima keputusan Mahkamah Rayuan pada Oktober lalu diterjemahkan dalam bentuk kedegilan meneruskan penggunaan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan di gereja Katolik di Selangor.
Ia merujuk kepada kenyataan Paderi Lawrence Andrew selain beberapa badan keagamaan bukan Islam di Selangor yang turut menggunakan kalimah Allah dalam aktiviti perhimpunan mereka biarpun larangan mahkamah berkuatkuasa.
Sejak mengeluarkan kenyataan 'berani mati' itu, masyarakat Islam beramai-ramai tampil membuat laporan dan mengadakan demonstrasi aman bagi mendesak Andrew yang juga Pengarang The Herald membuat permohonan maaf kepada umat Islam di negara ini. Namun, sehingga kini, Andrew masih tidak berganjak dengan pendiriannya biarpun keputusan Mahkamah Rayuan bagi membenarkan rayuannya didengari dijadualkan berlangsung Februari depan.
Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Mohd. Azril Mohd. Amin berkata, sebagai ketua agama, Andrew perlu menunjukkan contoh baik kepada pengikutnya dengan bertindak akur dan patuh kepada undang-undang iaitu keputusan mahkamah.
"Tidak ada agama menggalakkan pengikutnya membuat kehancuran. Sebagai ketua agama, beliau bertanggungjawab atas segala tindak-tanduk yang dilakukan, justeru beliau perlu memberi contoh baik dan berkorban sedikit masa menunggu keputusan rayuannya diluluskan," katanya kepada Utusan Malaysia.
Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan melarang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Melayu penerbitan majalah mingguan The Herald. Keputusan dibuat panel tiga anggota hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi itu memutuskan bahawa penggunaan nama 'Allah' bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian. Justeru, penggunaan kalimah Allah dalam mana-mana penerbitan selain agama Islam adalah dilarang dan masyarakat di negara ini harus menghormati dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
Apabila Andrew tetap mempertahankan pendirian untuk terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan di gereja Katolik di Selangor, beliau dianggap telah menghina keputusan mahkamah.
Dan sebagai orang yang bermastautin di Selangor, beliau juga telah menyanggah titah yang dibuat oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 Disember lalu bahawa semua rakyat negeri itu tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.
Larangan itu termaktub dalam peruntukan Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan di Selangor pada 1988.
Dengan mengetepikan larangan tersebut, Andrew seolah-olah sengaja menjolok sarang tebuan dengan mencabar undang-undang negara, membelakangkan titah Sultan Sharafuddin dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
Mohd. Azril berkata, Mahkamah Rayuan telah pun menetapkan keputusan dan ia adalah kedudukan terpakai atau undang-undang yang sah ketika ini.
"Selagi Mahkamah Tinggi Persekutuan belum mendapat kebenaran untuk mendengar rayuannya daripada Mahkamah Rayuan, beliau harus patuh larangan terpakai itu. Tidak perlu bising atau cetus keresahan orang. Tunggu sahaja keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan. Jangan risau kerana haknya untuk menjadi menjadi 'hero' (perintis) perayu dalam isu ini tetap dijamin," ujarnya.
Sebagai warganegara Malaysia, Mohd. Azril berpendapat Andrew seharusnya memahami kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, yang antara keutamaannya adalah menjaga sensitiviti kaum. Apa yang menjadi kebimbangan beliau, sekiranya kedegilan Andrew berterusan, dikhuatiri boleh mengundang ketegangan kaum, sekali gus menggugat keharmonian negara.
Bagi Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, beliau yakin Andrew sedar dengan apa yang dilakukannya. Malah Musa percaya, Andrew juga cukup jelas dengan larangan yang telah dikeluarkan.
Apa yang menjadi tanda tanya, apakah motif sebenar di sebalik keengganan ketua agama itu 'mengiktiraf' Perkara 11(4) Perlembagaan.
"Apa yang dihujahkan Andrew itu betul (Perkara 11 Perlembagaan), cuma kita tak pasti jika tindakannya mengetepikan Perkara 11(4) Perlembagaan (sepatutnya dibacakan bersekali dengan Perkara 11) sengaja dilakukan bagi mengaburi mata masyarakat," soal beliau.
Sebagai ketua agama, Musa berpendapat agak mustahil Andrew tidak mengetahui di Selangor sudah ada Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
Kecuali Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang, semua negeri termasuk Selangor mempunyai peruntukan sedemikian.
"Maka patuhilah undang-undang yang ditetapkan," tegas beliau.
Selain kalimah Allah, peruntukan di bawah enakmen tersebut turut melarang penganut agama lain menggunakan perkataan Ilahi, Rasul, Fatwa, Wahyu, Iman, Imam, Ulama, Mubaligh, Dakwah, Nabi, Hadis, Syariah, Qiblat, Injil, Syiekh, Solat, Kaabah, Haji, Khalifah, Kadi, Mufti, Wali, Firman Allah da Ibadah.
Sejak Andrew mengeluarkan kenyataannya yang mengguris hati umat Islam, ramai yang sudah tampil membuat laporan polis.
Kini, kertas siasatan telah pun diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk dipertimbangkan tindakan selanjutnya.
Dan rakyat Malaysia mengharapkan tindakan itu kelak berpihak kepada Perlembagaan dan undang-undang.

Andrew perlu faham Perkara 11 Perlembagaan - Pakar perundangan

KIRI: LAWRENCE ANDREW, MUSA AWANG, AZRIL MOHD. AMIN


KUALA LUMPUR 9 Jan. - Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew digesa mendapatkan pandangan pakar undang-undang berhubung tafsiran sebenar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan beragama di negara ini.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, hak untuk mengembangkan agama, selain Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11 (4) yang menyatakan undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam.
“Perkara 11 (1) hendaklah dibaca secara bersekali dengan Perkara 11 (4). Mungkin Andrew kurang faham tetapi beliau tidak boleh selama-lamanya dalam keadaan begitu.
“Kalau Andrew masih ingin berkeras, saya cadangkan beliau membuat permohonan ke Mahkamah Persekutuan untuk mentafsirkan Perkara 11 (1) dan Perkara 11 (4)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Musa mengulas keengganan Andrew untuk tunduk terhadap desakan pihak-pihak yang mahukan beliau menarik balik dan memohon maaf berhubung kenyataannya sebelum ini supaya gereja Katolik terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan di Selangor.
Andrew memberi alasan bahawa kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, termasuk Fasal 3 yang membenarkan mana-mana kumpulan agama menguruskan agamanya sendiri.
Musa menambah, terdapat kemungkinan Andrew menggunakan alasan itu bagi melindungi perbuatannya mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Mungkin juga beliau ingin menjadikan bantahan umat Islam terhadap kenyataannya sebagai isu dan untuk menunjukkan kononnya Islam itu radikal, zalim serta kejam," ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Azril Mohd. Amin memberitahu, akidah umat Islam di negara ini pada hakikatnya diberi perlindungan yang sewajarnya daripada pengaruh iktikad dan kepercayaan agama bukan Islam seperti yang termaktub di bawah Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Bukan Islam) Selangor 1988 juga melarang orang bukan Islam menggunakan sebanyak 26 perkataan yang bersumberkan ajaran Islam termasuk kalimah Allah dalam kegiatan keagamaan mereka.
“Sehubungan itu, tuntutan umat Islam agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Andrew di bawah enakmen tersebut adalah wajar," jelasnya dalam kenyataan menerusi blognya di http://azrilmohdamin.com hari ini.
Dalam pada itu, Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling memberitahu, Andrew seharusnya merujuk kepada Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, klausa tersebut menyatakan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di negara ini.
“Maksudnya masih ada kelonggaran kepada penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing selagi tindakan mereka tidak menjejaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan," jelasnya.
Mohamad Faisol berpandangan, mana-mana tindakan yang mengganggu-gugat Islam adalah bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan dianggap salah dari segi perundangan.